Tuesday, 17 July 2012

Sejarah PSSSHP

LATAR BELAKANG PERSATUAN

Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak telah diasas dan ditubuhkan pada tahun 1971 oleh Ketua Guru Utama persatuan ini iaitu Tuan Haji Baharum Bin Hathir P.P.T atau lebih dikenali dengan nama panggilannya iaitu Bapak Baharum. Nama asal persatuan ini sebenarnya adalah berbeza dengan namanya sekarang. Pada ketika itu nama persatuan ini dikenali sebagai Persatuan Seni Silat Selima Hitam. Nama ini wujud hasil dari percantuman lima jenis persilatan yang telah dipelajari oleh Bapak Baharum. Kelima-lima jenis ilmu persilatan itu ialah :-

1.  Seni Silat Cekak
2.  Seni Silat Jawa
3.  Seni Silat Gayong
4.  Seni Silat Sambarani, dan
5.  Seni Silat Wali Suci

Ilmu-ilmu persilatan ini dituntut oleh Bapak Baharum di Johor dan Melaka melalui datuknya, di Kedah dengan datuk saudaranya dan di Kelantan dengan bapa saudaranya. Di dalam kelima-lima jenis disiplin ilmu persilatan tersebut, Bapak Baharum telah dianugerahkan dengan taraf sebagai Guru.

Oleh kerana jenis permainan silat ini meliputi pergerakan yang agresif, kasar, keras, lincah dan pantas, maka setiap pesilat dikehendaki menghadapi ujian-ujian getir yang harus ditempuhi dengan tabah dan sabar. Jenis permainan tersebut diumpamakan seperti gerakan seekor Harimau yang tangkas dan gerakan Harimau menjadi lambang semangat kepada persatuan ini.

Akhirnya, pada tahun 1986, atas kesedaran untuk memelihara, mengembang dan memartabatkan Seni Silat Melayu sebagai warisan budaya tradisi yang berkekalan untuk diwarisi generasi seterusnya, persatuan ini telah didaftarkan secara rasminya di bawah Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966 dan setelah dilakukan permuafakatan antara Ketua Guru Utama dan Ahli Jawatankuasa persatuan, dengan mengambilkira lambang semangat persatuan ini iaitu Harimau dan Hitam dimaksudkan sebagai pakaian tradisi pesilat, persatuan ini telah didaftarkan dengan menukar namanya kepada Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak.

Moto persatuan ini ialah Berilmu, Beriman, Beramal. Ianya didefinasikan secara keseluruhannya bermaksud Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak adalah merupakan gedung bagi ahlinya untuk menimba atau mempelajari ilmu jasmani dan rohani, justeru melahirkan ahlinya yang beriman kepada Allah S.W.T serta ajaran-Nya dan sebagai hasilnya ahli tersebut dapat beramal atau melakukan suatu kerja atau sikap bertanggungjawab terhadap dirinya, agamanya, bangsanya dan negaranya.

Pengasas persatuan ini telah meninggal dunia pada tarikh 08.08.2006 dan sejak daripada tarikh itu jawatan Ketua Guru Utama persatuan ini telah disandang oleh anak beliau iaitu Encik Mohd Said Bin Haji Baharum dan dibantu oleh Encik Noor Aslan Bin Haji Baharum selaku Guru Muda.
PENTADBIRAN

Persatuan ini ditadbirkan melalui pejabat induk atau pusat persatuan ini di Perak iaitu di alamat 152, Taman Sentosa, 31900 Kampar, Perak. Segala keputusan dan perancangan persatuan adalah menjadi tanggungjawab Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat yang telah dilantik melalui Mesyuarat Agong persatuan pada setiap tahun. Senarai Ahli Jawatankuasa Pusat dan Cawangan yang berkaitan bagi tahun 2007/2008 dilampirkan bersama-sama ini.
Walaubagaimanapun, bagi melicinkan pentadbiran persatuan, setiap cawangan dan gelanggang persatuan ini ditadbirkan melalui Ahli Jawatankuasa Cawangan dan Gelanggang masing-masing yang dilantik melalui mesyuarat oleh ahli-ahli di cawangan atau gelanggang tersebut.
Cawangan bagi persatuan, pada masa ini  dimaksudkan sebagai cawangan di peringkat negeri iaitu di luar negeri Perak dan gelanggang pula dimaksudkan sebagai gelanggang-gelanggang persatuan ini yang dibuka di bawah tanggungjawab sesebuah cawangan.
KADAR BAYARAN YURAN & LAIN-LAIN BAYARAN

Kadar bayaran yuran dan lain-lain bayaran yang berkaitan bagi ahli persatuan ini telah ditetapkan seperti Lampiran yang disertakan. Namun begitu, kadar bayaran bagi murid sekolah di negeri Perak pada masa ini boleh dibincangkan atas dasar budibicara.
* Yuran Tahunan bagi ahli baru hanya perlu dibayar pada tahun kedua.
PERKEMBANGAN

Sejak ditubuhkan pada tahun 1971 dan didaftarkan secara rasmi pada tahun 1986, persatuan ini telah bergerak aktif untuk mengembangkan sayapnya terutama di Negeri Perak Darul Ridzuan. Tumpuan utama pada ketika itu adalah  untuk membuka gelanggang-gelanggang di peringkat kampung dan disertai oleh orang ramai daripada semua peringkat umur. Pada ketika itu, silibus pelajaran tidaklah teratur seperti pada masa kini dan disampaikan mengikut kesesuaian dan keadaan sesuatu tempat.

Atas kesedaran untuk membentuk generasi muda yang bersahsiah mulia, moral yang tinggi dan berperibadi luhur, perkembangan persatuan ini telah memasuki era baru mulai pada tahun 1986. Pada ketika itu, pembukaan gelanggang-gelanggang baru telah dilakukan secara aktif meliputi peringkat kampung dan sekolah. Untuk menyesuaikan keadaan dengan sistem persekolahan dan waktu pembelajaran yang sesuai, Rancangan Pendidikan PSSSHP telah diperkenalkan untuk menepati sistem persekolahan yang memerlukan silibus pelajaran serta waktu untuk kegiatan Ko-Kurikulum yang sesuai agar tidak mengganggu tumpuan pelajar kepada pelajaran.     

Sehingga kini, persatuan ini telah mempunyai seramai kira-kira 10,00 orang ahli yang berdaftar secara rasmi dengan persatuan. Manakala cawangan-cawangan dan gelanggang persatuan ini telah dibuka di dalam dan luar negeri Perak.

Antara gelanggang-gelanggang aktif persatuan ini ialah seperti berikut :-

1.  Gelanggang Sek. Men. Keb. Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak
2.  Gelanggang Sek. Men. Keb. St. Bernadette’s Convent, Batu Gajah, Perak
3.  Gelanggang Sek. Men. Keb. Tapah, Perak
4.  Gelanggang Sek. Men. Keb. Hamid Khan, Tapah
5.  Gelanggang Sek. Men. Keb. Sri Kampar, Kampar, Perak
6.  Gelanggang Sek. Men. Keb Sains Teluk Intan (SEMESTI), Teluk Intan, Perak
7.  Gelanggang Sek. Men. Keb. Dato’ Zulkifli Ahmad, Slim River, Perak
8.  Gelanggang Kg. Kinjang, Chenderiang, Perak
9.  Gelanggang Taman Seri Damai, Tapah, Perak
10.Gelanggang Taman Klebang Utara, Ipoh,Perak
11.Gelanggang Taman Melati,Gombak, Selangor
12.Gelanggang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak

Sesuai dengan perkembangan zaman dan era globalisasi masa kini, persatuan telahpun mengorak langkah dengan mengambil sikap terbuka untuk meluaskan lagi cawangan dan gelanggang persatuan ini di seluruh negara. Pembukaan cawangan dan gelanggang baru ini sedang giat dijalankan dan halatuju utamanya ialah untuk memartabatkan Seni Silat Melayu khasnya dan persatuan ini amnya. Disamping itu, persatuan ini juga sedang dalam proses untuk menubuhkan Pertubuhan Seni Silat Serimau Hitam Malaysia. Untuk merealisasikan hasrat tersebut, usaha-usaha telahpun dijalankan mengikut perancangan yang rapi dan sistematik.

“BERILMU…BERIMAN…BERAMAL”

0 comments:

Post a Comment