Tuesday, 17 July 2012

Perlembagaan PSSSHP

PERLEMBAGAAN
PERSATUAN SENI SILAT SERIMAU HITAM PERAK

FASAL 1:             Nama dan Alamat Berdaftar

Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Seni Silat Serimau Hitam, Perak.

Alamat berdaftarnya ialah 152, Taman Sentosa, Kampar, Perak. Di lain tempat yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa melalui kebenaran dari Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 2:             Tujuan-tujuan Pertubuhan

Untuk menyatupadukan orang-orang Melayu yang beragama Islam yang berusia antara 13 tahun ke atas di seluruh Negeri Perak.

Menyemaikan perasaan bersatupadu, menambahkan semangat rohani dan jasmani serta meninggikan ikhtisas persilatan.

Menggalakkan ahli-ahli membina persefahaman dan persahabatan dengan masyarakat berbilang kaum dan agama serta bertanggungjawab dalam hal kebajikan masyarakat.

Menolong dan menggalakkan ahli-ahli mencari jalan supaya mengambil peranan yang berguna dalam masyarakat, pembangunan negara dan kebajikan yang dapat memberi faedah kepada ahli, masyarakat dan persatuan.

Meninggi, menambah serta memperbaiki taraf kebudayaan dan kesenian kebangsaan khasnya dalam lapangan seni silat Melayu dan lain-lain seni-budaya.

Menanam semangat kecintaan dan taat setia kepada bangsa dan negara.

FASAL 3:             Keahlian

Ahli pertubuhan ini terbuka kepada tiga bahagian :-

Ahli biasa - Orang Melayu beragama Islam yang berumur 13 tahun ke atas yang tinggal di dalam negeri Perak.

Ahli bersekutu - Orang Melayu beragama Islam yang berumur 13 tahun ke atas yang tinggal di luar negeri Perak.

Ahli kehormat - Terdiri daripada mereka yang telah banyak berjasa dan berbakti kepada persatuan ini. Perlantikannya adalah berdasar keputusan jawatankuasa persatuan.

Ahli bersekutu dan kehormat boleh melibatkan diri dalam persatuan ini tetapi tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam jawatankuasa persatuan.

Setiap orang yang berumur 16 tahun ke bawah yang menjadi ahli dalam persatuan ini terlebih dahulu mestilah mendapat kebenaran daripada ibu bapa/penjaga.

Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang hendaklah mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya, menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

FASAL 4:             Yuran dan lain-lain

Yuran-yuran keahlian adalah seperti berikut:-
Yuran mandi tapak adalah sebanyak RM 7.25 setiap ahli.
Yuran bulanan bagi ahli pelajar sekolah adalah sebanyak RM 15.00 (Ringgit : Lima Belas sahaja).
Yuran bulanan bagi ahli dewasa/bekerja adalah sebanyak RM 25.00 (Ringgit : Dua Puluh Lima sahaja).
Tambahan : Sebanyak RM 5.00 (Ringgit : Lima sahaja) dikenakan kepada ahli pelajar sekolah untuk mengisi tabung persatuan dan dibayar pada setiap awal tahun bersama yuran bulanan.
Tambahan : Sebanyak RM 10.00 (Ringgit : Sepuluh sahaja) dikenakan kepada ahli dewasa atau bekerja untuk mengisi tabung persatuan dan dibayar pada setiap awal tahun bersama yuran bulanan.
Yuran untuk penerimaan ijazah-ijazah kelayakan adalah sebanyak RM 10.00 (Ringgit : Sepuluh sahaja).
Yuran-yuran bulanan hendaklah dibayar dalam masa 10 hari setiap bulan kepada Bendahari. (Awal bulan).
Ahli yang membiarkan hutangnya (yuran) lebih daripada 2 bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh atau wakil Setiausaha dan hilanglah hak-haknya sebagai ahli sehingga hutangnya selesai.
Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran selama tiga bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli persatuan dan pihak jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya, dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

Yuran-yuran khas atau kutipan wang daripada ahli untuk perkara yang tertentu boleh dijalankan dengan persetujuan mesyuarat agung persatuan. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar yuran tersebut dalam masa yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.

FASAL 5:             Pemberhentian dan Pemecatan

Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli persatuan hendaklah memberi kenyataan yang bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan membayar segala hutang-hutangnya.

Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang persatuan atau bertindak dalam cara yang akan mencemarkan nama baik persatuan bolehlah dipecat atau digantungkan keahliannya dalam sesuatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantungkan ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau menggantungkan secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang menerangkan dan membela diri. Pemecatan atau penggantungannya itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatal keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

FASAL 6:             Mesyuarat Agung

Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurangnya satu perdua daripada jumlah ahli-ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli-ahli jawatankuasa, ikut mana yang kurang hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi bilangan (korum) untuk mesyuarat.

Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (dalam masa 30 hari) yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa : dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa mengubah dasar undang-undang persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli-ahli.

Mesyuarat Agung Tahunan bagi persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah akhir tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 hb. Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah :-

Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan kerja-kerja persatuan di dalam tahun yang lalu;
Menerima laporan Bendahari dan penyata kira-kira yang telah diodit bagi tahun yang lalu;
Melantik ahli-ahli jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang;
Menguruskan lain-lain perkara yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

Setiausaha hendaklah menghantar kepada setiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat agung tahunan diadakan, suatu pengumuman mesyuarat yang menerangkan tarikh, masa dan tempat serta satu ajenda termasuk salinan-salinan peringatan mesyuarat dan laporan-laporan beserta dengan penyata kira-kira persatuan bagi tahun lalu yang telah diodit. Salinan surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat berdaftar atau di tempat mesyuarat persatuan.

Mesyuarat Agung Khas bagi persatuan ini boleh diadakan :

Bila difikirkan perlu oleh Jawatankuasa, atau Atas permintaan ahli-ahli dengan bertulis tidak kurang  daripada 1/5 daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya.

Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan mesyuarat itu.

Pengumuman dan ajenda untuk mesyuarat agung khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli-ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat.

Fasal (a) dan (b) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan mesyuarat agung tahunan boleh digunakan untuk mesyuarat agung khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat agung khas atas permintaan ahli-ahli maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan daripada tarikh ini mesyuarat agung khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

FASAL 7:             Jawatankuasa

Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan pegawai-pegawai persatuan hendaklah dilantik di dalam mesyuarat agung tahunan :-

Seorang Pengerusi
Seorang Naib Pengerusi
Seorang Setiausaha
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari
6 orang ahli jawatankuasa biasa

Pemegang-pemegang jawatan persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas-tugas pemerintah dalam persatuan ini hendaklah Warganegara Malaysia.

Nama-nama untuk jawatan yang di atas hendaklah dicadangkan dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam mesyuarat agung tahunan. Semua pegawai-pegawai boleh dilantik semula setiap tahun.

Pekerjaan Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan persatuan dengan tidak terkeluar dari dasar umum yang ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seterusnya tidaklah boleh membuat tindakan bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa taat kepada keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah memberi laporannya berkenaan kegiatan-kegiatannya di dalam tahun lalu kepada setiap mesyuarat agung tahunan.

Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam 3 bulan. Pengumuman bagi setiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Yang Dipertua dengan bersendirian, atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat jawatankuasa pada bila-bila masa sahaja. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan daripada ahli Jawatankuasa dengan surat pekelilingan, syarat-syarat yang berikutan hendaklah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima :
Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan borang di dalam Surat Pekeliling yang dihantar kepada setiap ahli Jawatankuasa;
Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilahmenyatakan persetujuan atau bantahan mereka kepada cadangan itu; dan
Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.
Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa kemudiannya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

Ahli Jawatankuasayang mungkir menghadiri mesyuarat jawatankuasa 3 kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai meletakkan jawatan di dalam jawatankuasa.

Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu.

Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu maka berkuasalah jawatankuasa melantik ahli persatuan yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga mesyuarat agung tahunan diadakan.

Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan lain-lain pegawai untuk menjalankan urusan-urusan persatuan, dan melantik pengurus-pengurus dan kakitangan-kakitangan yang difikirkan mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan merosakkan persatuan.

Jawatankuasa ini boleh menubuhkan jawatankuasa kecil jika difikirkan perlu dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli jawatankuasa.

FASAL 8:             Kewajipan-kewajipan Pegawai

Pengerusi, dalam masa jawatannya, hendaklah menjadi pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia manandatangani peringatan-peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek-cek persatuan bersama dengan Setiausaha dan Bendahari.

Naib Pengerusi hendaklah memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaannya.

Setiausaha hendaklah menjalankan kerja-kerja pentadbiran persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah-perintah mesyuarat agung dan jawatankuasa. Ia bertanggungjawab menguruskan hal-hal persuratan dan menyimpan semua buku-buku, surat-surat, dan kertas-kertas kecuali kira-kira dan buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, umur, nombor kad pengenalan, pekerjaan dan alamat.

Ia hendaklah hadir di dalam semua  mesyuarat dan membuat minit mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek-cek persatuan bersama dengan Pengerusi dan Bendahari. Setiausaha hendaklah di dalam masa 28 hari dari tarikh mesyuarat agung tahunan diadakan mengirim penyata tahunan persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan 1966.

Penolong Setiausaha hendaklah menolong setiausaha menjalankan kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaannya.

Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua wang kutipan persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas kebetulannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek-cek persatuan bersama Pengerusi dan Setiausaha.

FASAL 9:             Kewangan

Disyaratkan kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi undang-undang ini, wang persatuan ini boleh digunakan untukperkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan persatuan termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji, dan upah memeriksa kira-kira, tetapi walaubagaimanapun tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman di mahkamah.

Bendahari dibolehkan menyimpan wang runcit tidak melebihi dari RM 200.00 pada suatu masa. Wang yang lebih dari jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam akaun simpanan yang dipersetujui oleh jawatankuasa. Simpanan itu hendaklah di atas nama persatuan.

Segala cek-cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Jika ketiadaan Pengerusi, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek-cek atau kenyataan pengeluaran wang persatuan.

Perbelanjaan yang melebihi dari RM 200.00 bagi suatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh. Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih dari RM 500.00 bagi sebulan tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang dari RM 200.00 bagi suatu masa boleh diluluskan oleh Pengerusi bersama Setiausaha dan Bendahari.

Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan beserta timbangan kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa kira-kira mengikut undang-undang (10), dengan seberapa segeranya setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diodit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan mesyuarat agung tahunan yang berikut dan salinan-salinannya hendaklah dibekalkan untuk maklumat ahli di alamat berdaftar atau di tempat mesyuarat bagi persatuan.

Tahun kewangan persatuan ini bermula dari 1 hb. Januari dan berakhir pada 31 hb. Disember setiap tahun.

FASAL 10:           Pemeriksa Kira-Kira

Dua orang yang bukan pegawai persatuan boleh dilantik di dalam mesyuarat agung tahunan sebagai pemeriksa kira-kira kehormat. Mereka akan memegang jawatan selama setahun dan boleh dilantik semula.

Pemeriksa-pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk mesyuarat agung. Mereka harus juga dikehendaki bila-bila masa oleh Pengerusi memeriksa kira-kira persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perjawatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

FASAL 11:           Pengamanah

Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam mesyuarat agung tahunan dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh persatuan. Kepada mereka akan diamanahkan semua harta tetap kepunyaan persatuan dengan menandatangani suatu surat amanah.

Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau menukarkan milik harta kepunyaan persatuan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung persatuan.

Seorang Pengamanah boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baharu dilantik di dalam mesyuarat agung.

FASAL 12:           Tafsiran Undang-Undang

Di antara mesyuarat-mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan kelulusan kepada undang-undang ini dan bila mustahak memutuskan perkara-perkara tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat di dalam mensyuarat agung, keputusan jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.

FASAL 13:           Penasihat atau Penaung

Jawatankuasa persatuan ini boleh jika difikirkan perlu melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat atau Penaung bagi persatuan ini.

FASAL 14:           Larangan

Sebarang bentuk permainan judi adalah dilarang.

Persatuan atau ahli-ahlinya tidak boleh mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti yang diterangkan di dalam Ordinan Kesatuan Sekerja, 1959.

Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri samada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama persatuan atau pegawainya atau jawatankuasa atau ahli tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

Faedah-faedah seperti yang diterangkan di bawah seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966 tidak boleh diberi oleh pertubuhan kepada mana-mana ahli persatuan.

Seorang pelajar Universiti atau kolej universiti tidak boleh diterima menjadi ahli pertubuhan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.

FASAL 15:           Pindaan Undang-Undang

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 28 hari dari tarikh keputusan hendak membuat perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dijalankan kuatkuasanya mulai daripada tarikh perubahan dan pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

FASAL 16:           Pembubaran

Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga-per-lima jumlah semua ahli yang berhak mengundi.

Sekiranya persatuan hendak dibubarkan secara disebutkan di atas maka segala hutang dan  tanggungan persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui di dalam mesyuarat agung.

Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftaran Pertubuhan di dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.

FASAL 17:           Lambang/Lencana : Definisi Kandungan Lencana
Latarbelakang warna putih  - bermaksud suci atau bersih iaitu melahirkan ahli-ahli seni silat yang berjiwa suci dan bersih serta taat setia kepada pemerintah.

Huruf (sin) - bermaksud seni silat serimau hitam.

Huruf (ha) - bermaksud hitam.

Buku kuning - Al-Quran iaitu setiap ahli adalah beragama Islam dan patuh kepada ajaran Allah s.w.t.

Keris - melambangkan  kepahlawanan  iaitu  melahirkan ahli yang  mahir dan  cekap dalam  permainan tangan dan senjata.

Warna Putih, Kuning dan Hitam - adalah warna-warna bagi negeri Perak. (kedudukan di tengah)

Lingkaran Hijau - anugerah pertama bengkung hijau.

Lingkaran Kuning - anugerah kedua bengkung kuning.

Lingkaran Merah  - anugerah ketiga bengkung merah.

Lingkaran Hitam - anugerah keempat bengkung hitam.

Moto BERILMU BERIMAN BERAMAL - definasi keseluruhannya adalah bermaksud Persatuan Seni  Silat  Serimau  Hitam  Perak adalah  merupakan gedung bagi ahlinya untuk menimba atau mempelajari ilmu jasmani dan rohani justeru melahirkan ahlinya yang  beriman  kepada  Allah  s.w.t.  serta ajaran-Nya dan  sebagai hasilnya ahli tersebut dapat beramal atau melakukan  suatu kerja atau sikap tanggungjawab terhadap dirinya, bangsanya, agamanya dan negaranya.


0 comments:

Post a Comment